2008年11月12日 星期三

Konvensyen Tahunan DAP NS 2008

Ucapan oleh Pengerusi DAP Negeri Sembilan Loke Siew Fook di Konvensyen Tahunan yang ke-15 DAP NS pada 9 November 2008 di Seremban.

Anjakan paradigma ke arah Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan

8 Mac 2008 merupakan satu titik yang bersejarah bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi lebih-lebih lagi kepada Parti DAP. Keputusan Pilihanraya Umum yang ke-12 adalah satu titik permulaan ke arah sistem 2 parti di Malaysia dan sekaligus mengakhiri dominasi Barisan Nasional sebagai parti pemerintah yang tunggal di Malaysia. Kini rakyat mempunyai pilihan untuk memilih parti yang lebih memahami aspirasi mereka dan dapat menjalankan pentadbiran yang bersih dan telus.

Sejak ditubuhkan pada 18 Mac 1966, ini adalah julung-julung kali DAP mempunyai peluang untuk memainkan peranan bukan sahaja sebagai parti pembangkang di peringkat nasional tetapi juga sebagai parti pemerintah di 3 buah kerajaan negeri. Sekiranya angin bertiup lebih kencang sedikit pada hari 8 Mac 2008, kerajaan negeri yang ke-4 yang juga diwakili oleh DAP ialah di Negeri Sembilan.

Memenangi pilihanraya merupakan satu cabaran yang kuat. Namun, cabaran yang lebih besar ialah bagaimana menjadi sebuah parti pemerintah yang bersih, effektif dan memenuhi aspirasi rakyat jelata. Ini adalah satu ujian yang cukup getir. Kita tidak mahu DAP menjadi parti pemerintah satu penggal sahaja atau hanya di beberapa negeri. Impian kita ialah DAP memainkan peranan yang besar dalam pentadbiran kerajaan persekutuan dan juga membentuk kerajaan negeri di Negeri Sembilan bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat menjelang PRU yang ke-13.

Namun untuk mengejar impian ini, tidak kira peringkat kepimpinan negeri mahupun kepimpinan akar umbi perlulah mempersiapkan diri kita sendiri. Apa yang perlu dilakukan? Bagi saya, yang paling penting ialah anjakan paradigma ke arah sebuah parti yang benar-benar boleh memikul tanggungjawab sebagai parti pemerintah yang berwibawa.

Selama 42 tahun, DAP memainkan peranan “check and balance” yang cukup efektif dalam masyarakat Malaysia. Parti DAP dan pemimpin-pemimpinnya mempunyai kredibiliti yang cukup tinggi dalam menyuarakan suara rakyat secara lantang, melindungi mereka yang lemah dan menghulurkan tangan bantuan kepada mereka yang terpinggir di seluruh pelusuk Negara. Kita amat berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin kita sebelum ini. Tanpa sumbangan mereka, tidak mungkin DAP mempunyai asas yang begitu kukuh pada hari ini walaupun melintangi pelbagai cabaran dan ujian.

Namun, cabaran pada hari ini memerlukan setiap lapisan pemimpin DAP mempunyai pemikiran menjangkaui peranan kita sebagai parti pembangkang. Jelas sekali, rakyat Malaysia pada hari ini bukan sahaja menyokong DAP sebagai sebuah parti pembangkang tetapi juga mempunyai kepercayaan kepada kita untuk menjadi parti pemerintah. Kita bukan sahaja perlu lantang mengkritik sebarang ketidakadilan, namun dalam setiap isu dan masalah yang kita perjuangkan, kita juga perlu mencari jawapan bagaimana mengatasinya. Kita perlu berani memikirkan dasar alternatif dan bertindak seolah-olah kita ialah “government in waiting”.

Saya menyeru setiap lapisan kepimpinan dan keahlian parti DAP di Negeri Sembilan bersedia memainkan peranan ini. Bayangkanlah, sekiranya kita mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri, pasti ada di antara ADUN-ADUN DAP yang menduduki barisan EXCO. Saudara-saudari yang menjadi tonggak parti di peringkat akar umbi akan memainkan peranan sebagai ahli majlis kerajaan tempatan, ketua-ketua kampung dan ahli-ahli jawatankuasan JKKK. Sememangnya impian kita ialah memulihkan pilihnaraya kerajaan tempatan. Sekiranya itu berlaku, tentu sekali saudara-saudari yang akan membarisi barisan calon di pilihanraya tempatan.

Apa yang saya perkatakan bukanlah angan-angan ataupun mimpi sahaja. Sekiranya Barrack Obama boleh merealisasikan mimpinya sebagai Presiden Amerika Syarikat, DAP tetap boleh! Namun, apa yang paling penting untuk kita ialah jangan melupai asas perjuangan parti dan nilai-nilai yang membolehkan api obor Roket terus membara. Satu nilai yang langsung tidak boleh dikompromikan ialah integriti pemimpin-pemimpin kita.

Jangan sesekali berfikir seperti orang MCA dan Barisan Nasional. Sekiranya kita ingat menjadi EXCO, Ahli Majlis atau Ketua Kampung akan memperkayakan keluarga kita atau merupakan paspot untuk mendapat projek, lesen dan permit atau mengutip komisen, maka saya nasihatkan anda DAP bukanlah parti yang sesuai untuk anda. Bagi DAP, jawatan kerajaan adalah platform kita untuk merealisasikan dasar yang kita perjuangkan dan merupakan kuasa untuk mengubah masyarakat ke arah kualiti hidup yang lebih baik.

Justeru itu, mulai saat ini DAP Negeri Sembilan mengumumkan kita bersedia ke arah membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan. Kita akan melipat gandakan usaha untuk memantapkan organisasi parti dengan menambah bilangan ahli dan cawangan di setiap pelusuk Negeri Sembilan. Segala urusan parti juga perlu dilaksanakan dengan penuh iktizam dan pada tahap yang paling professional.

Untuk mengekalkan momentum arus perubahan, saya ingin mengumumkan 3 perkara penting yang bakal dilaksanakan oleh DAP NS dalam masa terdekat ini.

1)Bersama-sama dengan PAS dan PKR, DAP akan membentangkan satu “Bajet Alternatif Negeri” Pakatan Rakyat pada 22 November 2008 sebelum pembentangan Bajet Kerajaan Negeri di Persidangan DUN pada 26 November.

2)DAP Negeri Sembilan akan menandatangani Perjanjian Jual Beli (S&P) untuk membeli sebuah bangunan bernilai RM280,000 secara tunai di Oakland untuk kegunaan Ibupejabat Negeri yang baru dan dirancang untuk dirasmikan pada 8 Mac 2009.

3)DAP Negeri Sembilan juga memutuskan dalam mesyuarat jawatankuasa negeri untuk menganjurkan satu “majlis makan malam raksasa” sebanyak 308 meja di Seremban pada malam 8 Mac 2009 untuk menyambut ulangtahun pertama kemenangan bersejarah DAP di Negeri Sembilan. .

沒有留言: