2008年11月29日 星期六

SOALAN-SOALAN LISAN ADUN BUKIT KEPAYANG

SOALAN-SOALAN LISAN ADUN BUKIT KEPAYANG PADA HARI PERTAMA (26 November 2008)
Soalan Lisan 1:

Penutupan Jalan Dari Taman Bukit Chedang Fasa 2 ke Seremban 2

Jalan yang menghubungkan Taman Bukit Chedang Fasa 2 ke Seremban 2 telah ditutup secara melulu oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) pada bulan 19hb Ogos 2008. Penutupan ini telah menimbulkan pelbagai termasuk menyusahkan pergerakan kereta peronda polis dan bomba dari Seremban 2 ke kawasan Rasah. Pokoknya, penutupan jalan ini rata-rata menerima bantahan daripada majoriti penduduk sekitar Seremban 2 dan kawasan Rasah. Tambahan pula, ia telah menjejaskan perjalanan ke pejabat kerajaan yang penting seperti Pejabat Tanah, Ibupejabat Polis Daerah Seremban, Kompleks Mahkamah dan Pusat Kesihatan yang bakal dibuka tidak lama lagi. Saya ingin tahu:

a) Apakah menjadi polisi kerajaan yang akan menutup jalan cuma kerana tandatangan oleh 109 individu sahaja tanpa memberikan perhatian terhadap kepentingan masyarakat umum?

b) Kenapa pihak MPS tidak memberikan perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya terhadap cadangan pemasangan palang had ketinggian di jalan tersebut untuk mengelakkan kenderaan berat daripada melaluinya?


Soalan Lisan 2:

Pasar Besar Negeri Sembilan (NS Central Market)

Pasar Besar Negeri Sembilan (NS Central Market) yang dibina di kawasan Bukit Kepayang mula beroperasi pada tahun 2005, kini ia semakin malap ekoran kegagalan menarik pengunjung yang ramai. Hanya Seremban Siew Pau Sdn Bhd di tingkat bawah yang dapat menarik pengunjung. Sebaliknya tingkat 1 dan 2 hampir tiada urusan perniagaan. Walaupun pasar ini dibina dan dibangunkan oleh pihak swasta, tetapi kerajaan yang memberikan kelulusan pembinaan juga tidak harus lari daripada tanggungjawab sosialnya. Saya percaya ketiadaan rangkaian sistem pengangkutan awam merupakan punca utama kegagalan pasar ini menarik pengunjung. Saya ingin tahu:

a) Apakah yang bakal dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Seremban untuk mengelakkan pasar besar ini terus menjadi ‘gajah putih’?

b) Apakah ada perancangan daripada pihak Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam iaitu rangkaian bas dan teksi dari kawasan perumahan sekitar Seremban 2, Oakland, Mambau, Bukit Chedang dan Jalan Labu ke lokasi pasar ini?

Soalan Lisan 3:

Terminal 2 Bakal Menjadi ‘Gajah Putih’?

Kompleks Terminal 2 telah siap dibina pada hujung tahun 2007, desas-desus sebelum ini yang mengatakan bahawa ia akan dibuka pada hujung tahun lepas dan selepas itu awal tahun ini nyata meleset. Kini, orang ramai, pemaju dan bakal peniaga masih tertanya-tanya bilakah tarikh keramat pembukaan Terminal 2.

Saya ingin tahu:

a) Apakah prasarana dalaman dan sekitar Kompleks Terminal 2 termasuk lampu jalan di sepanjang Jalan Labu Lama sudah disiapkan sepenuhnya? Sila nyata prasarana yang masih belum disiapkan dan bilakah ia akan siap sepenuhnya?

b) Bilakah kompleks Terminal 2 ini akan dibuka secara rasminya untuk kedua-dua terminal bas dan pusat perniagaannya?



SOALAN-SOALAN LISAN ADUN BUKIT KEPAYANG PADA HARI KEDUA
(27 November 2008)


Soalan Lisan 1:

Perpindahan SJK (C) Tung Hua dari Daerah Port Dickson ke Seremban 2

Pada awal tahun ini, Kementerian Pelajaran telah mengumumkan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tung Hua dari Daerah Port Dickson akan dipindahkan ke Seremban 2. Namun, sehingga kini masih tidak nampak apakah sudah ada perancangan terperinci bilakah ia akan dilaksanakan sepenuhnya. Pernah disebutkan bahawa Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan sedang melakukan kajian.

Saya ingin tahu:

a) Sudahkah pihak sekolah tersebut atau pihak lain yang terbabit menghantar permohonan menukar status tanah ke tanah rizab sekolah dan pelan bangunan sekolah?

b) Apakah pihak pemaju IJM Land Sdn Bhd (atau RB Land Sdn Bhd) sudah mengenalpasti lokasi sebenar sekolah ini dan pelan rasmi daripada jurukur bertauliah sudah disahkan?


Soalan Lisan 2:

Projek Jalan Lingkaran Tengah Seremban, Fasa Ke-2 di Kawasan Taman Permai

Projek Membina Jalan Lingkaran Tengah Seremban, Negeri Sembilan Fasa Ke-2 telah memulakan kerja-kerja pembinaan di kawasan Taman Permai sejak tahun lepas. Walaupun pernah dimaklumkan bahawa projek di sekitar Taman Permai akan disiapkan menjelang 30 Julai 2008. Namun, sehingga kini pembinaan di sepanjang jalan Taman Permai masih gagal disiapkan.

Saya ingin tahu:

a) Bilakah projek ini akan siap untuk bahagian yang melibatkan kawasan Taman Permai?

b) Berapakah kos keseluruhan projek ini dan berapakah pula pecahan kos untuk bahagian sepanjang jalan Taman Permai?


Soalan Lisan 3:

Pencawang Telekomunikasi yang didirikan di DUN Bukit Kepayang

Sejak kebelakangan ini banyak pencawang telekomunikasi telah didirikan di kawasan perumahan dan perniagaan dalam DUN Bukit Kepayang, termasuk di Garden Avenue, Seremban 2, Rasah Kemayan dan Taman Baiduri. Walaupun lokasi yang didirikan pencawang telekomunikasi ini, tidak menghadapi masalah gangguan talian telekomunikasi. Secara lazimnya, penduduk sekitar tidak akan bersetuju dengan terdirinya pencawang/ menara telekomunikasi ini, kerana bimbang akan kesan radiasi dan biologi ke atas kesihatan mereka.

Saya ingin tahu:

a) Apakah garis panduan yang digunakan oleh pihak berkuasa tempatan dalam memberikan kelulusan memasang pencawang/ menara telekomunikasi ini?

b) Dalam memberikan kelulusan untuk mendirikan pencawang telekomunikasi ini, sejauh manakah pandangan dan hasrat penduduk setempat diberikan perhatian dan diambilkira?



SOALAN-SOALAN LISAN ADUN BUKIT KEPAYANG PADA HARI KETIGA
(28 November 2008)

Soalan Lisan 1:

Pemberimilikan Tanah kepada Sekolah Swasta Cina dan Sekolah Agama Rakyat di Negeri Sembilan

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan telah memutuskan untuk memberimilik tanah seluas kira-kira 1000 hektar kepada 9 buah sekolah swasta Cina di negeri itu. Ia sebagai langkah jangka panjang untuk menjanakan pendapatan kepada sekolah-sekolah tersebut, iaitu tanah tersebut akan diusahakan oleh perbadanan yang dikendalikan oleh sekolah-sekolah tersebut dan hasilnya akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan sekolah-sekolah tersebut.

Saya ingin tahu:

a) Apakah Kerajaan Negeri Negeri Sembilan akan menuruti konsep yang sama iaitu dengan memberikan hakmilik tanah kepada 2 buah sekolah swasta Cina dan sekolah-sekolah agama rakyat di Negeri Sembilan untuk membolehkan sekolah-sekolah ini menjanakan pendapatan daripada tanah tersebut?

b) Sama ada Kerajaan Negeri bersedia memberikan peruntukan tetap tahunan kepada sekolah swasta Cina dan sekolah agama rakyat di Negeri Sembilan tanpa mengira sama ada ia adalah tahun pilihanraya atau sebaliknya? Jika ada, berapakah jumlahnya untuk setiap sekolah?



Soalan Lisan 2:

Penternakan Burung Walit di DUN Bukit Kepayang

Kawasan DUN Bukit Kepayang terutamanya pusat perniagaan di Oakland kini menjadi ‘sarang burung’ yang terkenal di Negeri Sembilan. Keadaan ini telah menimbulkan kebimbangan para penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan. Pernah disebutkan bahawa pihak Majlis Perbandaran Seremban akan mengambil tindakan mahkamah terhadap mereka yang beroperasi tanpa permit.

Saya ingin tahu:

a) Apakah tindakan yang telah dan bakal dilakukan oleh pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan ini di kawasan Oakland?

b) Berapakah pengusaha tanpa permit yang sudah diheret ke Mahkamah setakat ini?

Soalan Lisan 3:

Gangguan Bekalan Air di sepanjang Jalan Labu

Kawasan-kawasan perumahan di sepanjang Jalan Labu seringkali menghadapi masalah gangguan bekalan air. Adalah dipercayai masalah yang berlaku berpunca daripada saluran paip lama yang usang yang telah digunakan sejak berdekad lamanya.

Saya ingin tahu:

c) Apakah ada perancangan di pihak Kerjaaan Negeri untuk menggantikan saluran paip air utama di sepanjang Jalan Labu, dan jika ada bilakah ia akan dilaksanakan?

d) Sejauh manakah pengkorporatan Jabatan Bekalan Air akan dapat mengatasi masalah gangguan bekalan air pada masa akan datang?

沒有留言: